Home > Author > Marsli N.O > detail

Marsli N.O

Nama pena bagi Ramli Selamat. Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibu pula negeri Terengganu, sehingga ini sering kali membuatkan beliau dianggap sebagai “anak orang luar”.

Minat menulisnya tumbuh lantaran pengaruh bahan bacaan awalnya seperti majalah Dian serta novel-novel seperti “Pertentangan” karya S. Othman Kelantan, “Athies” karya Achdiat Karta Mihardja dan “Ranjau Sepanjang Jalan” Shahnon Ahmad.

Ketika panas suasana perang di Vietnam dan di tanah Amerika berkobar bantahan mengenainya, lahirlah sebuah sajak awal beliau dengan judul “Anak Sisa Perang Vietnam” pada tahun 1970. Ketika itu beliau sedang di tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.

Tetapi secara sungguh-sungguhnya beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1975 dan mulai Mei 1979 baru karyanya berupa sebuah sajak berjudul “Harapan” disiarkan di majalah Dewan Sastera.

Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah.

Tahun 1985 puisinya "Di Hadapan Buku-Buku" antara yang meraih sagu hati Hadiah Sastera Utusan Public-Bank, tahun 1989 puisinya "Negeri Ini, Anak" antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena. Pada tahun 1993 cerpennya "Belon" antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1994 cerpennya "Pembela" turut meraih anugerah yang sama. Sementara puisinya "Begitu Kata Malam" antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 dan cerpennya “Menanti Buraq” pula antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 200/2001. Pada tahun 2003, cerpen beliau “Menternak Hantu” telah meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2003. Tahun 2010, cerpen beliau “Ketuanan, Maaf dan Seekor Binatang” antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009.

Sejak 1981 terlibat juga dengan teater selaku penulis naskhah, jurulatih, sutradara dan aktif membacakan naskhah. Di samping tampil dalam sejumlah pementasan, antaranya ialah pada 26 - 28 Ogos 2000 dalam pementasan "Gelanggang Tok Wali" karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon, penglibatan ini turut memberikan kesan dalam cara dan gayanya ketika di pentas dan sikapnya dalam mengarang. Di samping itu, pada Pekan Teater Pahang 2000, bersama Bengkel Teater Kuantan pimpinannya dan dengan naskhah “Fragmen Tolong” karya dan arahannya, telah meraih juara Pekan Teater Pahang 2000 dan ketika mewakili negeri Pahang ke peringkat zon Timur di Johor Bharu pada tahun yang sama telah berjaya meraih naib juara.

Sebagai deklamator beliau telah diundang dalam banyak acara. Pada 9 April 1988 di Baca Puisi Minggu Sastera DBP, 29 Oktober 1988 di Malam Puisi Riong III, Pembaca Sajak Terjemahan PPDKL 1988 (24 - 27 1988), 7 Mac 1989 di Puisi DBKL 1989, 15 Disember 1991 di acara Temu Puisi (Matic, KL), pada 13 Februari 1992 bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis DBP, pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL, 24 November 1993 di baca puisi Majlis Pelancaran Perisa (DBP), 29 Julai 1995 di acara Puisi Sepetang anjuran Kelab Sastera DBP, pada 9 September 1998 di acara Deklamasi Puisi Komanwel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Istana, Kuala Lumpur; pada 24 September 1999 di acara Baca Puisi Bersama-sama Kedutaan Asing sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 1999 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor; pada 29 Ogos 2000 beliau merupakan salah seorang penyair yang tampil membacakan puisinya bersama Perdana Menteri pada malam Baca Puisi Patriotik anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya; bersempena Festival Puisi Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 15 November 2000 beliau mementaskan dekon “Dari Pungguk ke Katarsis bersama warga Bengkel Teater Kuantan


the Works of Marsli N.O