Home > Author > Rahimidin Zahari > detail

Rahimidin Zahari

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Pengurusan Seni daripada Universiti Malaya (UM) ini telah menghasilkan karya dalam semua genre sastera serta memenangi pelbagai hadiah kesusasteraan di peringkat kebangsaan seperti Hadiah Penulis Muda Terbaik Cerpen ESSO-GAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan SHAPADU-GAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA, Anugerah Sastera Islam Darul Iman, Hadiah Puisi Islam Yayasan Pelajar, Hadiah Sastera Kelantan, Hadiah Utusan Exxon-Mobil, Hadiah Sastera Perdana, penerima Anugerah Penghargaan MASTERA 2013 dan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2013.

Menghasilkan sebanyak 20 buah buku perseorangan dan lebih 60 buah buku kumpulan karya bersama penulis lain serta 11 buah buku kumpulan puisinya telah diterbitkan, antaranya Lakaran Kampung, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska (Istana Pasir - sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow), Aksara, Perjalanan Salik, Rawana (dwibahasa Melayu-Inggeris), Perahu Fansuri, Bayang Beringin dan Laut Tujuh Gelombang Buih. Puisi beliau telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab, Thai dan Perancis.

Buku beliau seperti Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia (ITNM, 2010) dan Wayang Kulit: Shadow Play the Folk of the Malay Archipelago (ITBM, 2013) telah dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (2010 & 2012).

Beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Panggung di Istana Budaya dan Editor Majalah PENTAS di samping pernah memegang jawatan Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Munsyi Dewan (Sastera) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 4 petang pada 14 Mei 2015 di Hospital Sungai Buloh, selepas tidak sedarkan diri sejak seminggu. Beliau yang meninggal dunia pada usia 47 tahun itu, dimasukkan ke Hospital Selayang pada 6 Mei 2015 sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pembedahan untuk menghentikan pendarahan di otaknya akibat serangan darah tinggi. Beliau meninggalkan seorang balu, Rosliza Zakaria dan lima anak berusia 9 hingga 20 tahun.


the Works of Rahimidin Zahari